Thursday 16 February 2012

PELARI MARATHON TERTUA DI DUNIA

Rahsia Fauja kekal stamina





FAUJA SINGH hanyalah seorang petani yang menetap di sebuah perkampungan kecil di Bias Pind, Jalandhar, Punjab.

Sepanjang hayatnya, dia hanya tahu mengusahakan tanaman tebu dan gandum untuk menyara keluarganya.

Ditemani isteri dan enam cahaya mata, tiga lelaki dan tiga perempuan, lelaki itu bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya.

Bagaimanapun, pada usia mencecah 81 tahun, anak keduanya, Kuldip meninggal dunia akibat ditimpa palang besi ketika berada di rumah.

Sejak itu, Fauja mula berubah sikap. Dia lebih suka menyendiri dan mengalami kemurungan.
"Jiwa saya tertekan selepas kematiannya. Kebanyakan masa dihabiskan ke tempat upacara tempat pembakaran dan sering bercakap seorang diri," katanya dalam satu temu ramah bersama The Telegraph.
Bimbang dengan keadaan bapa mereka, anak lelakinya, Sukhjinder, yang menjalankan perniagaan di United Kingdom mempelawanya tinggal bersama sekitar tahun 1995.

Pada mulanya, Fauja sukar untuk membiasakan diri dengan kehidupan baharunya. Tidak hairanlah, masanya lebih banyak dihabiskan dengan menonton televisyen di rumah.

"Duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa sememangnya membosankan. Kebanyakan lelaki berusia di negara ini tidak mengawal pemakanan, kurang beriadah dan berkenderaan untuk ke mana-mana. Itu menyebabkan ramai antara mereka jatuh sakit," katanya.

Enggan perkara yang sama berlaku ke atasnya, lelaki itu mula berjoging di sekitar kawasan perumahan itu.

Dia mengenali sukan maraton selepas menyaksikan sekumpulan atlet lelaki dan wanita berlari dalam satu pertandingan yang disiarkan di televisyen.

Melihat kesungguhan atlet berkenaan berlari tanpa henti selama berjam-jam membuatkan dia berasa kagum, sekali gus membakar semangatnya untuk mencuba sukan yang agak asing bagi dirinya itu.
Lupakan kesedihan 

Peluang itu hadir selepas dia menyertai satu larian maraton amal sejauh 32 kilometer (km) yang diadakan di tengah London. Tanpa diduga, dia berjaya menyudahkan larian sejauh 20 km.

"Saya mahu melarikan diri daripada kesedihan dan kesepian yang menghantui selama ini. Berlari merupakan satu-satunya pilihan yang ada," ujarnya.


KEJAYAAN Fauja di dalam sukan maraton turut dikagumi pemimpin-pemimpin terkenal dunia.



Pada usia 89 tahun, Fauja memberanikan diri menyertai London Marathon pada tahun 2000. Pada penyertaan pertama itu, dia berjaya menyudahkan larian sejauh 42 km dalam tempoh masa enam jam, 54 minit.

Jurulatih kecergasan dan bekas pelari maraton, Harmander Singh, yang kagum melihat kesungguhan Fauja, mengambil inisiatif untuk melatih dirinya.

"Saya melatih dia secara percuma," kata Harmander. Ia merupakan satu penghormatan kepada saya."
Harmander secara peribadi mengakui Fauja mempunyai tahap kesihatan yang mengagumkan pada usia sedemikian.

"Keputusan pemeriksaan kesihatan ke atasnya menunjukkan dia mempunyai tulang seperti mereka yang berusia 35 tahun."

Dengan bantuan Harmander, lelaki yang selesa dengan imej turban dan berjanggut putih sehingga ke paras dada itu berpeluang menyertai lebih 14 pertandingan maraton dan separa maraton yang diadakan di seluruh dunia.

Pada tahun 2003, ketika berusia 92 tahun, dia mencipta rekod maraton bagi kategori 90 tahun ke atas dengan catatan masa lima jam 40 minit.

Kagum dengan semangat yang ditunjukkan, jenama sukan terkenal, Adidas telah melantiknya sebagai duta bersama bintang bola sepak, David Beckham di dalam kempen, Impossible is nothing.

Wajahnya terpampang di papan-papan iklan utama di seluruh United Kingdom. Malah, syarikat itu juga telah mengeluarkan kasut khas, Fauja Singh Shoes sebagai penghormatan kepadanya.
Sejak itu, lelaki yang hanya fasih berbahasa Punjab itu mula menjadi tumpuan orang ramai di London. "Saya amat dihormati di sana, mereka menyayangi saya.

"Mereka bertanya apakah keistimewaan kaki saya yang kurus ini. Sukar untuk sesiapa percaya lelaki berusia 100 tahun mampu menyertai pertandingan maraton," katanya.

Bagaimanapun, tidak semua masyarakat di Barat mengalu-alukan kehadiran Fauja.
Dia menjadi subjek perkauman ketika menyertai pertandingan di New York selepas peristiwa 11 September 2004. Penonton-penonton yang hadir mengejeknya dan memanggilnya, Heym Osama Bin Laden dan Lihat, itu Saddam gara-gara imejnya itu.

"Biarpun marah, namun pelari-pelari lain berjaya menenangkan dan menyuruh saya supaya tidak mengendahkannya," ceritanya.

Pada bulan Oktober tahun lalu, Fauja diiktiraf sebagai pelari maraton tertua di dunia selepas berjaya menamatkan larian dalam tempoh lapan jam 11 minit ketika menyertai Toronto Waterfront Marathon di Kanada.

Kejayaan itu membolehkan dia memecahkan rekod berusia 35 tahun yang dipegang oleh seorang pelari dari Greece, Dimitrion Yordanidis, 98.

Popularitinya semakin meningkat, malah dia dianggap sebagai seorang wira di India.
Ketika pulang ke kampung halamannya sebelum ini, dia disambut puluhan peminat setianya.


KE MANA sahaja Fauja berada dia pasti menjadi tumpuan lensa kamera dan peminat-peminatnya.


Tumpuan peminat

Malah dia sentiasa menjadi tumpuan peminat yang mahu bergambar, termasuk ketika menghadiri sebuah majlis perkahwinan di sana.

"Saya boleh menjadi jutawan sekiranya saya mengenakan bayaran kepada mereka yang mahu bergambar," guraunya.

Ketika kanak-kanak, anak bongsu daripada empat beradik itu pernah melalui pelbagai pahit getir kehidupan.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin, Fauja dianggap berbeza berbanding adik-beradiknya yang lain kerana hanya mula berjalan ketika berusia lima tahun. Pada usia 15 tahun pula, dia hanya mampu berjalan sejauh 1.6 km.

"Kaki saya sangat lemah ketika kecil. Mungkin ia satu cara tuhan memeliharanya agar ia boleh digunakan sepenuhnya beberapa tahun kemudian," dedahnya di dalam buku biografi miliknya bertajuk, Turbaned Tornado: The Oldest Marathon Runner Fauja Singh.

Biografi setebal 144 muka surat itu diterbitkan pada 6 Jun tahun lalu. Penulisnya, Kushwant Singh sebelum itu pernah menulis buku mengenai Fauja, bertajuk, Sikhs Unlimited dan Mending Souls.
"Dia seorang lelaki unik. Dia berlari pada usia di mana orang lain sudahpun bersara, tenaganya amat luar biasa.
"Menulis biografi itu merupakan satu penghormatan besar kepada saya. Fauja telah memberi dimensi baharu terhadap makna ketahanan, aspirasi dan kekuatan," ujar Kushwant.
Di dalam biografi itu, lelaki yang mempunyai ketinggian 172 sentimeter itu turut berkongsi tip pemakanannya.

"Saya amat berhati-hati ketika memilih makanan dan hanya makan bila berasa lapar. Diet saya terdiri daripada sayuran hijau, yogurt, kacang daal, roti.

"Saya tidak menyentuh nasi, parata, pakoras dan makanan yang bergoreng. Saya minum banyak air dan teh halia."

Fauja turut mengakui umur panjang yang dimilikinya berkait rapat dengan gaya hidup positif yang diamalkan.

"Setiap hari saya bangun pukul 6 pagi dan berdoa kepada tuhan agar semua perkara-perkara negatif tidak wujud di dalam diri saya.

"Selepas itu saya akan berlari sekurang-kurangnya 10 km sehari," jelasnya.
Malah dia turut menjadi contoh kepada lima warga emas Britain berketurunan Sikh untuk terlibat di dalam maraton. Kesemua mereka berusia sekitar 80-an.


Sumbangan amal

RAHSIA kehidupan Fauja didedahkan di dalam buku biografi miliknya yang diterbitkan tahun lalu.

Biarpun kejayaan menjadi pelari maraton tertua di dunia tidak tercatat di dalam Guinness World Record disebabkan ketiadaan sijil kelahiran yang sah, namun Fauja tidak kecewa.

Sebelum ini, dia sudah menerima beberapa anugerah seperti Pride of India dan Ellis Island Medal of Honor di atas sumbangan amal yang dilakukan.

Lebih membanggakan, dia juga pernah menerima
jemputan peribadi daripada bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf menyertai pertandingan maraton di Lahore pada tahun 2005.

"Kami bergambar bersama, ternyata beliau seorang yang peramah.

"Ratu Elizabeth II juga pernah menghantar telegram ucapan tahniah sempena ulang tahun kelahiran saya ke-100, malah saya juga pernah dua kali dijemput ke Istana Buckhingham," jelasnya.

Ditanya sampai bila dia akan terus berlari, ini jawapan Fauja : "Saya tidak akan berhenti sehinggalah saya mati. Sasaran saya sekiranya diizinkan tuhan ialah untuk menjadi pelari maraton yang tertua di dunia."




SUMBER -KOSMO

Friday 10 February 2012

Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum KSSR Pendidikan Islam Tahun 2

Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum KSSR Pendidikan Islam ( Rancangan Pelajaran Tahunan )Tahun 2.
Untuk download sila klik di sini

Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Dunia Seni Visual KSSR Tahun 2

Dokumen Standard Kurikulum dan Bahan Sokongan Kurikulum Dunia Seni Visual KSSR
( Rancangan Pelajaran Tahunan )Tahun 2


Untuk Download sila klik di sini

CONTOH KARANGAN UCAPAN UPSR

CONTOH KARANGAN UCAPAN UPSR

Soalan

a-Anda ialah Pengerusi Kelab Kesenian.Anda akan menyampaikan ucapan dalam
satu Majlis Ramah Mesra sempena pengambilan ahli baharu.

b-Anda akan berpindah sekolah kerana bapa anda ditukarkan di Jabatan lain di
Johor.Anda dikehendaki menyampaikan ucapan dalam majlis perpisahan yang
dirancang oleh guru dan rakan-rakan anda.



Monday 6 February 2012

PETUA CEMERLANG DALAM PELAJARAN

35 Petua Pelajar Cemerlang dari Dr Fadzilah Kamsah


Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:
1.            Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
2.            Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
o                        kita ingat 10% apa yang dibaca
o                        kita ingat 20% apa yang didengar
o                        kita ingat 50% apa yang didengar & dilihat
o                        kita ingat 70% apa yang dicakapkan
o                        kita ingat 90% setelah dipraktikkan
3.            Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
4.            Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).
5.            Belajar dalam persekitaran kondusif.
o                        pastikan cahaya adalah terang
o                        kurangkan gangguan bunyi
o                        tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
o                        tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
o                        kerusi dan meja menghadap kiblat
o                        jangan lupa untuk senyum
6.            Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
7.            Mengulang kaji menggunakan kaedah 'output learning' iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
8.            Tahu teknik merangsang memori:
o                        memasukkan maklumat dalam memori (registration)
o                        menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
o                        mengingat kembali (recall)
o                        menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
9.            Sentiasa awal dan mendahului:
o                        persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
o                        pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
o                        belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
o                        untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
10.       Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
11.       Mempunyai teknik membaca yang betul:
o                        duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
o                        memberikan tumpuan sepanuhnya
o                        menggunakan jari telunjuk untuk membaca
o                        menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
12.       Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
13.       Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
14.       Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
15.       Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
16.       Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
17.       Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
18.       Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
19.       Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
20.       Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
21.       Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
22.       Tahu petua mengulang kaji:
o                        cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
o                        siapkan semua 'bekalan' dengan sempurna
o                        duduk tegak dikerusi yang selesa
o                        baca doa penerang hati
o                        baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
o                        fikir dan ingat kembali isi utama
o                        catat/lakar
o                        semak semula ketepatan maklumat
o                        ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
o                        buat rumusan
o                        jawab soalan
o                        tampal maklumat yang rumit di dinding
o                        baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
23.       Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
24.       Tahu petua-petua agar tidak lupa:
o                        jangan makan kepala ikan
o                        jangan makan organ dalaman
o                        jangan minum semasa makan
o                        jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
o                        jangan melihat kemaluan
o                        banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
o                        banyakkan makan kismis, kurma dan madu
o                        banyakkan makan kekacang
o                        pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
o                        jangan makan sehingga terlalu kenyang
o                        jangan kencing berdiri
25.       Tahu kemahiran mengingat:
o                        tampal nota-nota penting di dinding
o                        tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
o                        gunakan kaedah akronim
o                        reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
o                        pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
26.       Cekap mengatur jadual belajar:
o                        mempunyai jadual belajar
o                        patuh kepada jadual
o                        buat jadual yang boleh diikuti
27.       Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
28.       Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
29.       Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
30.       Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
31.       Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
32.       Pelbagaikan tempat belajar.
33.       Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
34.       Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
35.       Ciri-ciri pelajar cemerlang:
o                        taat kepada Allah
o                        mendirikan sembahyang
o                        menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
o                        hormati & sayangi guru
o                        bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
o                        suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
o                        membantu rakan yang memerlukan
o                        berdoa dan bersyukur kepada Allah
o                        sentiasa bertawakal
o                        mahir dalam setiap mata pelajaran
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja.